Memaparkan catatan dengan label pengalamanku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengalamanku. Papar semua catatan

29 Mac 2012

misteri pallet sakti.....

assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. umpan pallet 6363 untuk patin ni dah macam jadi fenomena pulak. memang ramai yang telah bertukar arah kepada pallet kerana umpan pallet ni lebih senang disediakan dan boleh dikatakan umpan pallet ini adalah umpan segera. dalam masa setengah jam sahaja umpan dah boleh digunakan tak payah nak peram-peram dan sebagainya. sebenarnya umpan pallet ni adalah pengganti kepada roti. kalau anda pernah memancing menggunakan roti, pastinya anda biasa dengan kaedah apung, tanam, mata gantung dan sebagainya. sama sahaja dengan umpan pallet ni. teknik yang sama biasanya akan digunakan jika menggunakan pallet ni. cuma jangan lupa jika menggunakan pallet anda memerlukan bahan untuk memegang pallet supaya pallet tak terburai masa baling. biasanya pemancing akan menggunakan jajan lemau la.

saya gemar mencampurkan serbuk kayu manis lebihkurang satu camca untuk sekilo pallet. cuma saya gunakan bahan perisa ni kalau ikan dah tak nak makan umpan pallet ni. mungkin lain kali kena campurkan dengan bahan yang lain pula. tabiat ikan ni macam manusia juga, mudah jemu dengan makanan yang biasa. kadangkala nak tukar selera juga.

anda juga boleh mencampurkan dengan bahan-bahan atau perisa atau umpan peram yang anda gunakan semasa memancing menggunakan roti dulu. tak salah mencuba. cuma yang paling penting adalah teknik pancingan dan keadaan ikan itu sendiri. kalau masa dia nak makan memang dia makan tapi kalau dah tak nak memang boleh membangau la jawabnya. semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing. ramai di kalangan pemancing yang berjaya kerana mereka tak takut mencuba. dan kebanyakan pemancing otai ada cara mereka sendiri.....

sekian....

15 September 2011

umpan out of date

assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Lama sangat saya tak update blog ni. Rindu rasanya nak menulis. Lama juga saya tak memancing kerana agak sibuk dengan urusan kerja dan juga nak menyiapkan kereta saya yang saya spray sendiri. Akhirnya dapat juga saya siapkan walaupun masa yang diambil hampir sepanjang bulan ramadhan. 1hari 1jam je saya luangkan masa dan akhirnya siap juga beberapa hari sebelum raya.

Minggu lepas saya bertandang kembali ke kolam pancing seksyen 24. Kalau kesana apa lagi kalau tak kerana patin. Saya masih menggunakan teknik mata gantung dan berumpankan roti. Saya masih menggunakan roti walaupun dikatakan sekarang ikan lebih menggemari umpan dedak pallet yang dibancuh dengan air panas. Saya berharap ikan akan sudi menjamah umpan saya yang dah out of date tu.

Teknik batu gantung yang saya gunakan adalah dengan menggunakan batu ladung saiz 2 dan menggunakan tali hantu 20lb sebagai tali perambut. Saja saya menggunakan perambut jenis ini kerana hanya hilamunam dalam air. Jadi saya menganggap ikan tidak akan dapat melihat tali jadi ini mungkin boleh mengurangkan rasa culas ikan pada umpan.

Saya sampai dikolam pada jam 8.30 pagi. Lewat juga rasanya sebab saya selalu turun memancing patin seawal jam 7 pagi kerana patin memang galak makan pada waktu pagi.

Saya cangkukkan 3 ketul mashmellow putih sebelum memasang umpan pada mata kail. Tujuannya adalah untuk membuatkan umpan timbul. Bukan bermakna umpan timbul di permukaan tapi timbul mengikut kepanjangan perambut. Sama seperti belon yang diisi dengan gas. Ianya boleh terbang tapi tersekat oleh kepanjangan tali yang diikat padanya. Saya pasti anda faham.

umpan pertama saya labuhkan tanpa sebarang getuan dari sang ikan. tapi selepas balingan umpan yang ketiga ikan yang pada mulanya segan nak makan telah mula menjamah umpan. saya lihat radar plastersin mula turun dan naik dan turun kembali dan naik tegang @ pacak terus selama beberapa saat. saya yang berada di pomdok masa itu bingkas bangun dan menuju ke joran untuk menyentap. sentapan sedang-sedang jer yang saya lakukan, itupun kerana mahu memastikan matakail terlekat kemas pada mulut ikan. dan hasilnya patin pertama pembuka tirai pada hari ini adalah patin skala 1kg, selepas patin yang pertama menjamah umpan tiap kali balingan umpan pasti akan dijamah ikan. balingan yang kedua juga menghasilkan patin skala 1-2kg sahaja.

patin ketiga ni sama sahaja gaya makannya dengan patin yang pertama dan kedua tadi. tapi gayanya agak perlahan sedikit menandakan ianya patin yang agak besar. tali menegang agak perlahan tetapi terus tegang seperti tanpa ada sekatan. reel tica 554 yang lama tidak beraksi mula menyanyi. saya segera menuju ke joran. saya angkat sahaja joran dan terus layan kerana saya pasti matakail terlah tertacap kemas pada mulut ikan.
saya angkat joran dan gelengan pertama ikan yang berada jauh ditengah kolam agak kuat. saya pasti ianya patin yang tak kurang dari 3 kg. kali ini perlawanan agak lama dan beberapa kali kekili tica saya menjerit meminta tali. saya ketatkan drag sedikit bagi memastikan saya dapat mengawal ikan dari mengganggu pemancing yang berada berdekatan. namun kali ini tentangan ikan agak kuat, saya hanya boleh memberikan tentangan sedikit dan ikan memecut laju kekiri dan ke kanan.

hampir 3 minit perlawanan ikan terasa semakin lemah dan saya mula berjaya mengawal ikan yang telah menyebabkan saya terpaksa menyusupkan joran keatas dan kebawah joran pemancing lain bagi mengelakkan  tali dari berbelit. akhirnya ikan mula timbul, besar ni jer tapi kuat. bisik saya seorang diri. apakan tidaknya dengan skala ikan yang hanya 3kg itu tetepi ia memberikan tentangan seperti ikan berskala 5 kg keatas, memang seronok kerana telah lama saya tidak merasakan rentapan ikan dihujung joran.

selepas ikan ketiga saya naikkan, ikan agak kurang menjamah. jam pun telah menunjukkan jam 11 pagi. masa ikan makan dah berlalu rasanya. selang setengah jam umpan tidak dijamah saya menukarkan umpan dengan yang baru dengan harapan bau umpan yang masih segar akan lebih menarik minat ikan untuk menjamah umpan. sangkaan saya tepat kerana tali pancing saya tegang dengan cepat lagi kali ini. ianya telah tengang selama 5 saat tetapi tidak kendur dan saya mula menyentap joran. sentapan mengena. tapi kali ini ikan patin skala 1 kg yang mengena. tapi seronok juga dapat melayan daya juang ikan ni walaupun hanya seberat 1kg sahaja. setelah ikan sampai ketebing kolam saya dengan yakin ingin mengangkat ikan tanpa menggunakan tangguk kerana matakail telah berada jauh kedalam mulut ikan. tapi sangkaan saya meleset kerana matakail terlepas dari mulut ikan dan ikan berjaya meloloskan dari. alamak ruginya kenapa tak pakai tangguk tadi.... tapi apa boleh buat dah bukan rezeki kita nak buat macamana lagi.

selepas itu tiada lagi ikan yang sudi menjamah. dan saya pulang dengan 3 ekor ikan patin skala 1-3kg. boleh la saya jadikan lauk untuk santapan bersama seisi keluarga.

sekian

31 Mei 2011

rahsia umpan power

assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca semua. maaflah lama saya tak berkongsi ilmu dengan anda semua. tapi saya bukan kedekut ilmu ye..... lama juga saya tak memancing. memandangkan anak ketiga saya masih lagi dalam pantang, jadi saya stop dulu memancing ni. mungkin juga dalam minggu ni saya akan turun memancing plabuk seksyen 24. lama dah tak kesana..... 

istilah umpan power memang kerap digunakan pemancing, tapi apa disebalik rahsia umpan power ni? kalau ikut pengalaman saya umpan power ni bagaikan sesuatu yang unik, hasil dari kajian pemancing itu sendiri. saya rasa anda pun ada umpan yang anda katakan power tu..... umpan power bermaksud umpan yang selalu mengena ikan sasaran. kalau dikolam air tawar, umpan yang baik sangat memainkan peranan. kalau tak kena umpannya memang ikan sukar atau tak mahu langsung menjamah umpan tu...... masalah yang biasanya berlaku ialah apabila ada pemancing lain yang mempunyai resepi umpan yang lebih baik dan pemancing itu akan menggasak ikan. ini selalu yang dicemburui pemancing lain.

bagi saya pemancing mestilah cepat belajar, tidak mengharapkan satu-satu resepi umpan sahaja. cuba dan terus mencuba. kadangkala umpan yang tak berapa masuk akal itulah yang power. memang saya tak nafikan.... saya pun ada beberapa jenis umpan yang dibuat daripada daun pokok dan pewangi.. .memang berkesan. namun selalunya saya gunakan dalam kes-kes emergency sahaja seperti masa ikan tak mahu makan langsung walaupun dah lama masuk kedalam kolam. pencetus nafsu makan ikan ni sangat penting sebenarnya. selalunya kalau ikan dah mula makan ianya akan makan dan terus makan......

biasanya umpan pada satu-satu kolam tak sama dengan umpan dikawasan kolam yang lain. ianya bergantung kepada umpan apa yang banyak digunakan disana. pernah saya memancing, ikan dikolam tersebut tidak mahu langsung menjamah umpan yang tidak dicampurkan dengan minyak ikan, berjam-jam juga saya menanti ikan menjamah umpan tapi langsung tak diusiknya. adalah seorang rakan pemancing yang baik hati memberitahu saya bahawa ikan dikolam ini hanya akan makan umpan yang dicampurkan dengan minyak ikan.  saya campurkan beberapa tiitk minyak ikan pada umpan yang saya gunakan tadi dan barulah ikan menjamah umpan. bukan setakat jamah je malah bergasak pulak lepas tu....


kalau anda fikirkan kenapa ada sahaja orang yang selalu menggasak ikan. tapi bukan tiap kali memancing orang tu akan menggasak ikan? padahal dia menggunakan umpan yang sama seperti hari yang dia bergasak tu. kenapa pula ikan tak nak makan umpan dia kali ini? 

sebenarnya bagi saya tiada istilah umpan power ni. semuanya bergantung kepada rezeki yang dikurniakan oleh Ilahi. yang penting kita kena berusaha. usaha tanpa mengenal putus asa dan bertawakkal serta berdoa agar dimurahkan rezeki. memancing pun jalan mencari rezeki yang halal tapi bukan jackpot ye........ dan setelah kita dikurniakan rezeki yang murah jangan pula kita lupa untuk bersyukur......

sekian

13 April 2011

panggilan mekong seksyen 24

assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca..... lamanya saya tak memancing, gatal betul tangan ni nak merasa tarikan ikan. memang best kan masa tarik ikan tertamanya ikan yang kita tarik tu besar dan kuat. ikan air tawar yang diketogorikan ikan yang paling kuat didunia tidak lain dan tidak bukan adalah patin mekong. hanya pemancing yang pernah berlawan dengan ikan ini saja yang tahu bagaimana rasanya melawan ikan ini dengan set air tawar. memang penat.... kita dah penat tapi ikan tak penat-penat.......................



dulu kalau pemancing nak merasakan ikan ni perlulah bertandang ke thailand, sekarang ni tak perlu lagi kerana banyak kolam pancing yang dah memasukkan ikan ini ke kolam mereka. kolam yang paling hampir  adalah kolam pancing seksyen 24 shah alam. didalam kolam ini ada 279 ekor patin mekong dan yang lainnya adalah ikan patin biasa dan lain-lain spesis air tawar. masalah yang sering berlaku adalah pemancing tak tahu bagaimana teknik dan umpan yang perlu digunakan untuk mendapatkan patin mekong ini. kalau anda bertanya kepada saya, saya pun tak tahu apa umpan khas untuk mekong ni. saya pernah mendapat patin mekong ini dengan menggunakan umpan yang berbau masam. umpan masam macam roti masam, umpan yang menggunakan tapai dan sebagainya pernah dikatakan digemari oleh patin mekong ni. yang penting kena terus mencuba resepi-resepi baru. RnD pemancing ni ada kalanya memerlukan belanja yang besar. pernah juga saya terbaca dalam forum yang pemancing pernah digasak patin mekong sampaikan tali utama 30 paun putus, umpan yang digunakan pula adalah umpan peraman masam yang terdiri daripada tapai dan kelapa. bahan-bahan lain yang dicampurkan tidak pula dinyatakan. 

besarnya patin mekong ni

dikatakan juga patin mekong ni cepat membesar jika terdapat banyak makanan, jika dalam kolam yang selalu ada pemancing memang akan ada banyak makanan. mungkin patin mekong dalam kolam pancing seksyen 24 ini akan mencecah puluhan kilo dalam beberapa tahun yang akan datang. kalau la patin mekong ni boleh membesar sampai begitu besar, mungkin akan ada pemancing yang membawa set jigging laut ke sana. hoho.... tak sabar rasanya nak turun memancing.
-topangler81-

17 Mac 2011

2 dalam 1

assalamualaikum dan salam satu malaysia. lamanya saya tak update blog ni. sibuk sikit sekrang ni, memancing, kerja dan ada pula yang order perambut, umpan dan sebagainya. susah nak tunaikan permintaan semua dalam satu-satu masa. alhamdulillah celcom broadband yang bermasalah dari minggu lepas dah kembali pulih.

siang tadi saya memancing bersama dengan 3 orang rakan yang lain. target kami adalah untuk memancing patin. kolam mana lagi kalau bukan kolam seksyen 24. sebab satu-satunya kolam yang paling banyak patin dan jarak perjalanan pun tak sampat setengah jam dari rumah saya. saya berumpankan roti dadu berperisa strawberi dan menggunakan teknik gantung dengan perambut 1 3/4 depa. lebih kurang 11 kaki panjang. kami sampai agak awal iaitu pada jam 7.15 pagi. tanpa berlengah kami cepat-cepat menyiapkan umpan. keadaan cuaca yang agak suram dan sejuk pada awal pagi menyebabkan patin bertambah aktif. ada beberapa pemancing yang sedang melayan ikan pada masa yang sama. sehinggakan ada yang berlawan tarik menarik kerana ada ikan yang tersangkut pada pancing pemancing lain....................

09 Februari 2011

mekong mula makan


assalamualaikum dan salam sejahtera, lamanya saya tak update blog ni. sebenarnya baru-baru ini saya telah kehilangan handphone dan simkad celcom broadband saya. ruginya rasa... lama juga saya menanti nak kumpul duit untuk beli handphone dan dapatkan simkad yang baru. sebab tu la saya gagal nak updatekan blog ni. maaf ya.

ok la berbalik dengan tajuk kali ini. saya dapati yang patin mekong kolam seksyen 24 shah alam dah mula sudi nak menjamah umpan. tak kira la apa umpan pun kalau kena masa dia nak makan dia belasah jer. ramai juga pemancing rohu yang menggunakan dedak dan pemancing patin yang menggunakan roti berjaya menaikkan patin mekong hingga belasan kilo. saya juga tak terlepas peluang merasakan kekuatannya yang sungguh luar biasa.

tanggal 1 februari 2011 menjadi tarikh keramat kerana pada hari itu saya berjaya mendaratkan patin mekong pertama saya seberat 12.25kg. saya menggunakan umpan roti potong dadu dan pes  masam. (berbau masam). jam 7.15 pagi saya sampai di kolam berseorangan. niat hari ni saya nak memancing patin sahaja. saya menggunakan roti jenama daily fresh. saya menggunakan perambut 2 mata yang hanya menggunakan tali champion 18 paun dan matakail mustad no 8.

roti dikepal sebesar penumbuk budak 5 tahun dan saya melontar umpan ketengah kolam. tolakan dari angin menyebabkan umpan jatuh kesebelah kiri sedikit. selang 15 minit saya mendapat tarikan yang agak kasar dari ikan. patin 6kg berjaya saya naikkan selang beberapa minit perlawanan. umpan dikepal kembali dan kali ini saya kepal umpan pada satu mata sahaja dan matakail yang lagi satu saya cucuk roti seperti satey dan biarkan ia terdedah tanpa dikepal. sebelum melontar umpan saya lekatkan matakail berumpan roti cucuk tapi pada kepalan roti matakail yang satu lagi. ini bagi mengelakkan tali perambut daripada berbelit dengan kili dan tali utama.

lontaran dilakukan dan ianya masih senget kekiri kerana tolakan angin. saya biarkan bail arm tica 554 terbuka dan letakkan joran abu garcia conolon 6,6kaki pada pancang joran. plastersin saya gunakan sebagai radar dan saya tutup bailarm dan karau beberapa kali untuk menegangkan tali. beberapa kali tali tegang kendur kerana ada ikan yang melanggar tali tapi saya biarkan sahaja. saya duduk dikerusi yang beberapa kaki sahaja jaraknya dari joran. sedang saya memerhatikan keadaan sekeliling saya tersentak kerana radar mula bergerak dengan kuat naik dan turun. saya mendekati joran dan bersedia untuk strike. ikan menghenjut lagi dan kali ini saya lihat radar naik dengan sangat laju bagaikan patin melibas dan matakail terkena ekornya. saya strike secara sederhana sahaja. kemudian saya dapati ikan mula melawan. tarikan pertamanya memang laju dan bertenaga. beberapa saat sahaja ikan melompat dan saya dapati ia telah berada dibucu kanan kolam. laju dan kuat sungguh ikan ini. tangan saja mula menggigil sebaik sahaja saya mengetatkan drag hampir ketahap maksimum.

mesin tica 554 mula mengeluarkan bunyi yang tidak menyenangkan selang 10 minit perlawanan. saya masih lagi bertahan dan beberapa kali saya berjaya membawa ikan ketengah kolam. dan tiap kali saya berjaya menarik ikan ketengah kolam ia akan naik kepermukaan dan melibas ekor kemudianna akan kembali membenam kedasar kolam dengan sangat laju bagaikan tiada tekanan langsung yang saya berikan pada hal drag telah diketakan dengan kuat dan tangan saya sedang menggigil menahan asakan ikan. lenturan abu garcia conolon hampir ketahap maksimum. memang kuat ikan ni. saya pernah menaikkan patin seberat 13.8kg tatapi  kekuatan patin mekong lebih kuat beberapa kali ganda berbanding patin biasa atau patin lombong. entah berapa kali saya berjanya mengepam ikan ketepi dan kemudiannya ia pecut kembali hingga keseberang kolam. tangan saya juga mulai sakit. selepas 30 minit perlawanan saya dapat rasakan ikan semakin lemah dan saya pun semakin lemah juga. tapi saya gagahkan juga. bukan senang nak dapat melayan patin mekong di kolam ini.

40 minit perlawanan saya telah berjaya membawa ikan hampir ka tebing. dan beberapa kali jua ia hendak kembali ketengah kolam tetapi ia semakin lemah dan tidak berdaya lagi untuk melawan. akhirnya saya dibantu oleh beberapa orang pemancing lain untuk mendaratkan ikan. ikan berjaya dinaikkan selepas 45 minit perlawanan dan saya berasa sangat puas. sengsara juga saya hendak memabawa ikan untuk ditimbag di kaunter macam membawa tong gas dalam tangguk rasanya. bila ditimbang ianya seberat 12.25kg. tidaklah terlalu besar berbanding dengan saya juang yang ditunjukkannya. patutlah ianya diberi jolokan ikan terkuat didunia.


bila pula anda hendak merasakan daya juangnya. tak perlu lagi ke thailand.

05 Oktober 2010

pengalaman pagi di kolam warga emas

assalamualakum dan salam sejahtera kepada semua. semalam saya ada bertandang ke kolam seksyen 24, dekat dengan uptown shah alam. pagi-pagi lagi saya dah garak kesana. tujuan saya adalah untuk mencuba memancing patin. pada mulanya saya nak memancing pada malam hari nak ambik midnight pakage. tapi malam tu hujan turun dan saya tak dapat nak tunaikan hajat saya nak memancing malam.

jam 7.30 pagi saya sampai ke kolam. dengan bersenjatakan kekili mutiplier banax zest dan joran daiwa 5 kaki saya beranikan diri untuk mencuba menggunakan baitcast ni. pelik gak rasanya dan ramai juga pemancing yang mentertawakan saya pada masa tu. tapi tak apa la demi mencari kelainan saya tabahkan hati juga. saya duduk dikawasan yang kurang pemancing. maklumlah dah lama tak menggunakan kekili menegak ni. takut nanti nak baling ke kolam terlekat kat telinga pemancing lain.....

saya menggunakan umpan roti yang dipotong dadu. dan menggunakan dua matakail pada perambut. Panjang perambut yg saya gunakan adalah antara 6inci hingga 12 inci. Kebanyakan pemancing saya lihat menggunakan perambut yg lbh panjang. Ada yg lebih dari sedepa.

dapat saya lihat banyak ikan yang bermain dipermukaan air terutamanya sang patin dan rohu. Macam air menggelegak. Terlihat juga sesekali patin gadang bermain air. Saya anggarkan patin tu lebih 10kg. Memang besar.

Tetiba saya dikejutkan dgn bunyi mesin katak dari pemancing sebelah. Tentangan dahsyat diberikan oleh ikan. Gayanya macam patin yang mengena. Memang kuat tentangan patin disini, keadaan kolam yang luas dan dalam menyebabkan ikan bertambah kuat. Selang 10 minit dapat dilihat patin berjaya di naikkan. Beratnya lebih kurang 5kg sahaja tapi tentangannya mcm patin 7kg keatas.

Cadangan saya kalau hendak memancing disini, gunakanlah joran berkekuatan 10-20paun dan kekuatan tali antara 12-20paun kalau tak mahu berputih mata.

10 Januari 2010

ikan makan roti


assalamualaikum dan salam sejahtera. semalam saya ke kolam seri cheeding. sampai kat kolam ada beberapa orang pemancing yang tengah setia menanti jamahan ikan. umpan saya labuhkan pada jam 9.45 pagi. pada awalnya saya gunakan dedak dan pallet. macam biasa.lepas balingan ketiga, ikan rohu mula menjamah umpan. gembira betul saya rasakan. alangkah nikmatnya melayan tarikan ikan, rezeki dari Allah.

selepas beberapa ketika saya dapati tali tak berhenti bergoyang menandakan yang beribu ekor anak talapia sedang asyik menjamah umpan. banyak juga anak talapia yang tersangkut pada matakail walaupun saya menggunakan matakail yang agak besar iaitu mustad no6. kebanyakkan anak talapia tersangkut pada bahagian badan bukan pada mulut. ini membuatkan saya berfikir sejenak, macammana nak memancing rohu kalau anak talapia mengganas macam ni.

saya teringat pesanan seorang rakan. jika nak memancing kat kolam ni gunakan umpan roti. roti kurang diganggu oleh anak talapia ni. saya gunakan perambut spring juga tapi saya hanya letakkan roti pada matakail sahaja. spring saya biarkan kosong. sebagai insuran saya sangkutkan sekali perambut 4 mata bersama spring. alhamdulillah segalanya berhasil. umpan tak lagi dijamah anak ikan talapia. selang beberapa minit rohu menjamah lagi, tapi kali ini saiznya lebih kecil tak sampai pun 1 kg.

sebelum saya terlupa saya gunakan roti gardenia potong dadu dan roti tu saya campurkan beberapa titik topmax power pandan. baunya memang menyelerakan.

saya pulang dengan 9 ekor ikan. alhamdulillah masalah semasa memancing kali ni dapat saya tangani dengan agak baik. anda pun perlu kreatif jika mahu menjadi pemancing yang berjaya. selamat mencuba...

21 Disember 2009

Mari belajar.

Assalamualaikum. Zaman moden ni kita banyak didedahkan dengan pelbagai medium pembelajaran. Dari cd, video, internet dan lain lain lagi. Kat blog ni pun saya ada masukkan video dari youtube. Walaupun video ni dari luar negara tapi banyak yang boleh dipelajari terutama dari segi teknik dan cara. Banyak juga teknik yang saya amalkan dan berjaya menghasilkan tangkapan yang baik. Contohnya teknik bancuhan umpan ada ditunjukkan dalam video tersebut. Cara mencambuh juga ada bermacam-macam. Dan ia selalunya bergantung kepada kedalaman air dan kederasan arus. Banyak yang boleh anda pelajari daripadanya. Teknik merasuah juga ada disertakan. Apa yang penting anda sendiri mahu belajar atau tidak. Terpulang kepada anda. Forum juga adalah salah satu cara bertukar pandangan dan idea antara pemancing. Forum seperti www.fishing.net.my/forum dan pancing.net sangat membantu. Apa yang anda perlukan hanyalah mendaftar sebagai ahli dan selepas itu boleh la bersembang dengan para otai-otai kat forum tu. Silap hari bulan boleh turun memancing sekali. Ada bermacam lagi cara seperti menonton video pancing, membaca majalah majalah pancing juga dapat meberikan ilmu yang bermanafaat. Yang penting diri kita sendiri sama ada mahu belajar atau hanya mahu berada di takuk lama. Sekian

08 Disember 2009

Cuti-cuti.

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan. Harap anda semua sihat. Maaf la masuk ni dah hampir seminggu saya tak update blog ni. Dah dekat 2bulan saya tak turun memancing. Bukan merajuk tapi banyak perkara yang hendak di selesaikan. Kadangkala terasa nak pergi jugak memancing tu tapi memandangkan ada perkara yang lebih penting saya tangguhkan dulu memancing ni. Kedai tempat saya menjual ikan tak tau la macam mana keadaannya sekarang ni. Pemancing cari makan yang selalu menelefon saya kalau ada ikan masuk pun dah tak dengar berita sekarang ni. Tak tahulah mana perginya diorang tu sekarang ni.
Harini saya dapat info dari kawan, ikan rohu di kolam pancing seri cheeding dah start makan. Ikan pun agak besar skala 1~1.5kg. Saya diberitahu yang ikan disana suka makan umpan berminyak. Ada seorang otai semalam yang menggasak lebih dari 20ekor rohu. Kalau ingin turun kesana sila la. Kalau anda dah pernah kesana pastinya anda tahu lubuk mana yang perlu anda pilih. Sama macam kolam lain dikolam ni ikan makan dalam satu-satu kawasan sahaja. Kolam yang besar begini dan keadaan air yang bersih pastinya umpan yang berbau sederhana akan lebih mendapat sambutan dari ikan. Mungkin esok saya akan mula memancing lagi. Dah gatal tangan dah lama tak merasa tarikan ikan.

17 November 2009

Bila dah boring

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Pernah tak anda boring semasa memancing? Saya pernah alaminya dan masa tu saya berhenti memancing selama setahun lebih. Anda pula bagaimana. Apa yang anda akan lakukan bila dah boring memancing.

04 November 2009

Variasi umpan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Umpan umpan dan umpan. Umpan bergantung kepada tempat dan spesis yang ingin di pancing. Tapi pernahkah anda terfikir umpan yang telah lama anda gunakan tu perlukan perubahan. Seperti mana memancing di kolam kalau ingin mendapatkan spesis ikan seperti rohu dan tongsan pastinya kita akan menggunakan umpan dedak dan palet. Untuk spesis patin pula kita akan gunakan umpan roti. Tak boleh ke kalau kita gunakan roti untuk memburu rohu dan dedak untuk memburu patin. Bukan tak pernah ada pemancing yang mendapat patin dengan dedak dan rohu dengan roti. Kadangkala kita masih terikut dengan apa yang telah di setkan dalam minda kita. Sukar rasanya untuk mencuba sesuatu yang baru kerana kita takut mencuba dan takut gagal. Pasti anda pernah tertanya kenapa orang lain boleh dapat tangkapan yang banyak sedangkan anda tidak. Mereka yang mendapat tangkapan yang banyak pun sama menggunakan umpan, matakail dan tali serta joran dan mesin. Tapi kenapa mereka yang selalu dapat banyak? Apa bezanya antara mereka dan kita. Selalunya variasi umpan perambut dan matakail yang membezakannya. Takkan orang yang berusaha lebih dari kita akan dapat hasil yang sama dengan kita. Pastinya usaha mereka lambat laun akan berhasil. Baru baru ni saya turun memancing dan ada seorang pemancing yang menggunakan tepung untuk memancing patin. Hasilnya beliau pernah mendapat jackpot bulanan rm2000+ dan pada hari tersebut beliau telah mendapat seekor patin 5kg. Fikirkanlah

03 November 2009

Apakah tandanya

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar para pemancing semua. Harap dalam keadaan sihat dan sejahtera. Apakah tandanya? Sabtu saya turun memancing. Segalanya menjadi. Saya mendapat 2ekor tongsan dan 4ekor rohu termasuk 1pacu hampir 3kilo. Tiap kali balingan pasti akan ada sambutan dari ikan. Tapi kerana dah mendapat pada hari sabtu, saya turun lagi pada hari ahad. Tapi segala yang dirancang tak menjadi. Tiada seekor pun ikan yang sudi menjamah umpan saya sedangkan ramai pemancing yang sedang menggasak. Saya cuba membancuh umpan lain pula tapi jawapannya tetap sama. Cukup masa 3jam saya pun pulang dengan tangan kosong. Tanpa ada sebarang jamahan dari ikan. Pelik betul rasanya. Bisikan hati asyik mengajak saya pulang. Saya pulang dengan hati yang tertanya-tanya. Apa yang tak kena. Sampai dirumah rupanya ada perkara besar yang tak dijangka berlaku. Ada kalanya allah memberikan kita peringatan tapi adakah kita mengendahkannya. Sama seperti kejadian alam yang saban hari semakin rakus melakukan kemusnahan hasil dari kerakusan manusia itu sendiri. Kejadian seperti gempa bumi dan tsunami adalah peringatan kepada kita. Adakah kita mengendahkannya. Tapi saya masih tertanya lagi. Apakah tandanya.

21 Oktober 2009

Umpan keras sangat la.

Masa saya memancing haritu ada seorang pemancing lewat usia yang memancing disebelah saya. Bila dia nampak banyak ikan yang saya naikkan beliau pun terus labuhkan umpan. Saya perhatikan sahaja. Kemudian saya berjaya menaikkan lagi beberapa ekor ikan tapi umpan pakcik ni tak mengena pulak. Bila saya tengok beliau menarik pancing umpan masih ada lagi. Selepas 3balingan umpan masih cantik lagi melekat pada matakail. Patut la umpan keras sangat. Tak berani pula saya nak tegur takut beliau kecil hati. Umpan yang lembut atau peroi sangat penting bagi memudahkan ikan terkena matakail. Jika umpan keras matakail akan terikut sekali dengan umpan. Dan lebih teruk jika umpan terlalu keras hinggakan bahagian yang tajam pada matakail tertanam pada umpan.

02 September 2009

Tragedi september

Salam sejahtera kepada para pembaca semua. Maaf la dah agak lama saya tak update blog ni. Macammana bulan ramadhan ni? Larat tak pergi memancing. Cerita tentang memancing ni memang ada suka dan duka. Langit tak selalunya cerah. Semalam saya pergi la memancing kat kolam kegemaran saya, mana lagi kalau tak di tanjung rabok bay. Cuaca satu hari ni memang sejuk dan hujan gerimis tak berhenti. Umpan 3dalam1 saya gunakan. Ada variasi sikit. Boleh la dikatakan umpan baru. Hati macam was-was je nak pergi ke taknak. Tapi memandangkan ikan masuk banyak dan semalam dah start makan. Untuk makluman, kolam 2 tanjung rabok dah di keringkan. Ikan kolam 2 dimasukkan ke kolam 1 anggapan jumlah berat ikan adalah 4tan. Umpan pertama dilabuhkan tepat jam 12.30 tengah hari. Tak sampai beberapa minit, ikan merentap joran. Tak sempat saya capai joran tali dah mengendur. Tali sufix 12pound putus sekali rentap sahaja. Habis 2set perambut baru menjadi tukun. Tak sempat nak berjasa. Saya tarik joran dan cuba meneliti apa silapnya. Drag tak lah ketat dan tali pulak semalam baru check. Takde luka pun. Kemungkinan ikan ni besar dan libasan ekor semasa ia berenang melarikan diri menyebabkan tali terputus. Tapi saya pasti tarikan tu adalah dari spesis rohu buat tongsan sisik kasar. Tak berpuas hati, saya labuhkan umpan di tempat yang sama. Agak lama takde ikan menjamah. Lepas 20minit baru lah ikan berani menjamah umpan. Ikan rohu pertama lebih kurang 1kg lebih. Masa perlawanan dengan ikan kesilapan berlaku. Tali dalam kelili tak tersusun dengan kemas. Tali juga ada yang kusut. Dengan ikan masih di dalam air, saya buka spool dan keluarkan tali sehinggalah tali kusut dapat dikeluarkan. Berhempas pulas juga saya dengan menahan asakan ikan dan cuba melepaskan tali yang kusut. Lepas tu adik saya datang menemani saya memancing. Masa tu hujan gerimis. Lepas tu ikan makin galak makan. Saiz pulak boleh tahan. Sekilo lebih semuanya. Ada jugak yang lebih dari 2kg. Bila hujan renyai ikan makin galak. Tiap balingan mesti ada yang menjamah. Cuma yang berbeza cepat dan lambat sahaja. Ikan makan lagi. Tarikannya kuat dan laju menandakan rohu besar yang makan. Saya ketatkan sikit drag untuk menambahkan tekanan pada ikan. Joran diangkat agak tinggi tapi ikan masih tak mengalah. Ikan memecut kekiri. Dan setelah beberapa ketika kepala ikan mula timbul. Adik saya cepat-cepat mengambil playar untuk menaikkan ikan yang dah terkulai kat tebing kolam. Saya sedar ikan masih kuat sebab perlawanan tak berapa lama dan ikan pula besar. Tapi tak kisah la ikan dah naik. Masa adik saya cuba membuka matakail tiba-tiba ikan melompat. Saya pun terkejut. Tapi adik saya mengerang kesakitan. Mata kail terpacak di jari tengah tangannya. Tusukan matakail makin dalam bila ikan melompat lagi. Saya pun cuba membantu dengan memegang ikan tapi lendir yang terdapat pada badan ikan menyebabkan saya gagal memegang ikan dengan kemas. Dan ikan melompat lagi sekali. Kali ini saya terkam dengan lebih kuat. Ikan dah berhenti melompat. Saya suruh adik saya tu pegang ikan dengan kuat dan saya cuba mengambil gunting untuk memotong tali perambut. Mujur ikan tak melompat lagi. Saya potong perambut dan matakail masih tertanam di jari adik saya. Kesakitan terkena mata kail ni memang lain macam. Saya juga pernah terkena tapi agak bernasib baik kerana masa matakail tertanam di jari ikan melompat dan mata kail terkeluar mengakibatkan kulit dan isi terkoyak sedikit. Memang ngeri. Tapi itulah asam garam dunia hanyir ni. Berbalik kepada cerita tadi. Saya stop kad dan terus ke klinik. Tapi sempat pulak hantar ikan di kedai. Hari tu saya pulang dengan 10kg rohu dan pengajaran yang tak ternilai harganya. Sekarang saya dah tak guna playar pendek lagi. Playar berhulu merah sepanjang 4inci tu saya gantikan dengan playar berhulu kuning sepanjang 12inci. Dulu pernah seorang rakan menegur saya tentang bahaya penggunaan playar pendek ni tapi saya tak endahkan sangat dan sekarang dah terkena baru nak berubah. Diharapkan para pembaca dapat pengajaran dari pengalaman ngeri saya dan adik saya ni. Sediakan la modal sikit untuk keselamatan sebelum terkena. Anda mampu mengubahnya. -topangler81-

29 Julai 2009

kisah lama seri bayu tekala

Assalamualaikum semua. Esok saya akan pergi memancing, dah lama sangat saya tak memancing kat kolam seri bayu tekala semenyih ni. Anggaran saya dah dekat 3 tahun. Ingat lagi saya pada masa tu saya mula berjinak dengan dunia memancing kolam air tawar. Pada masa itu saya baru sahaja dapat satu resepi umpan dari seorang kawan. Umpan patin. Memang teruja bila dapat pergi memancing. Masa tu saya dengan seorang rakan lagi. Kami sama-sama baru berjinak memancing kolam air tawar ni. Masa tu nak ikan perambut pun masih terkebil-kebil.
Nak dipendekkan cerita. Kami sampai di kolam pada jam 9 pagi. Masa tu hari orang berkerja hari rabu, jadi kolam ni lengang la sikit. Ada la beberapa orang yang sedang memancing pada masa tu. Kami pun melabuhkan umpan. Umpan roti dibaling ketengah kolam. Selang setengah jam patin pertama menjamah umpan. Patin 4kg berjaya didaratkan selepas 15 minit perlawanan. Ikan disini lebih kuat berbanding dengan ikan dikolam tempat saya selalu memancing. Memang teruja masa tu sebab itulah ikan terbesar yang pernah saya dapat masa tu.
Tapi lagi saya terkejut balingan kedua terus ditarik selang seminit selepas balingan kedua. Tali masih lagi terapung ikan terus menarik joran. Hasilnya bunyi tali membelah air kuat sekali sampaikan kawan saya yang berada beberapa meter berpaling kearah saya. Bunyi apa tu? Katanya kepada saya. Ikan terus memecut tapi selang beberapa minit ikan berjaya melepaskan diri. Saya tarik tali dan pasang semula umpan. Balingan ketiga ikan makan lagi macam tadi dan kali ini lagi cepat. Terkejut saya sebab masa saya memasang radar ikan terus merentap joran. Nasib baik joran tak terlepas dari tangan. Beberapa minit perlawanan sang patin 3 kg berjaya dinaikkan. Balingan keempat ikan masih makan dengan galak sekali. Selang beberapa minit balingan ikan menjamah umpan. Begitulah seterusnya sehingga waktu pulang. 4 buku roti saiz jumbo habis saya gunakan seorang. Kalau ada umpan lagi pasti saya akan memancing lagi.
Balingan terakhir sudah 5 minit saya menunggu. Nampaknya ikan dah tak nak makan bisik hati saya. Saya pun mengemas beg untuk pulang. Tiba-tiba mesin berbunyi nyaring sekali. Ikan melarikan tali dengan agak perlahan. Tapi saya tak dapat mengekang lariannya. Hampir seminit ikan melarikan tali tanpa henti dan kini ia membelok ke kiri menuju tebing si bahagian kiri kolam. Saya ketatkan sedikit drag kerana saya dapat rasakan larian ikan semakin perlahan. Hati makin berdebar saya rasakan. Takut kalau-kalau tali akan terputus kerana terkena tebing. Tapi nasib tak menyebelahi saya. Tetiba ikan rabut dan tali mengendur......
Saya belek kembali apakah silapnya kali ni. Rupanya saya mengikat drag terlalu ketat kerana takut ikan lari ke tebing. Itu yang menyebabkan matakail terlucut dari mulut ikan. Itu kisah beberapa tahun yang lalu esok, tak tahu lagi apa hasilnya....

23 Julai 2009

Midnight pekej

assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca semua. dah lama juga saya tak dapat update blog saya ni sebab internet broadband yang saya gunakan ada masalah. ini baru ok..... bacalah blog terbaru saya...

Lama juga saya tak memancing midnight pekej. Dah lebih kurang 2tahun saya tak memancing pekej ni. Kalau dulu tu selalu la jugak. Dulu masa pertandingan cangkuk (bebas) selalu la saya memancing malam ni. Saja nak tambah skill la katanya. Kengkandang tu balik rumah terus kena urut tangan tu sebab semalaman merembat. Malam kelmarin saya cuba la mancing pekej malam ni. Hati pun rasa berkobar-kobar. Maklum saja la dah lama tak mancing malam. Dari petang persediaan dah di buat. Beberapa jenis umpan dibawa. Kalau tengok beg tu macam nak pergi camping la pulak. Kami bertiga sampai ke kolam lebih kurang jam 12.05 malam. Ingatkan kami je yang memancing malam tu tapi ada lebih kurang 20 orang pemancing di kolam tu. Memancing ramai macam ni memang best. Saya pun mula mencapai perambut untuk memasang umpan. Roti di cucuk pada matakail dan akhirnya kepalan lembut roti dilakukan. Kini umpan berbentuk seperti kepompong sebesar penumbuk kanak-kanak. Balingan pertama dilakukan ketengah kolam. Selang lebih kurang seminit saya mula memasang radar. Adalah penting untuk menunggu umpan jatuh seketika sebelum memasang radar bagi mengelakkan tertarik umpan roti lembut tadi yang akan menyebabkan roti terburai dari matakail. Setengah jam saya menanti. Tapi umpan tidak dijamah oleh ikan. Selang beberapa lama, saya mula menukar umpan. Kali ini saya gunakan umpan kelapa peram. Umpan ni biasanya dapat menjinakkan patin skala 2kg keatas. Tapi malam ini segalanya tak menjadi. Tiba-tiba ada tarikan dari sang ikan. Rakan saya membiarkan sahaja. Tarikan dari ikan perlahan dan menyentap. Sentapan ikan beberapa kali tapi tak dapat menarik drag dari kelili. Ikan menarik lagi. Dan masih sama ia tak dapat mengeluarkan tali dari kekili. Akhirnya joran diangkat tinggi. Lenturan joran menandakan ada mangsa terlekat di mata kail. Mangsa meronta ingin melepaskan diri tapi matakail berjaya mengunci kemas. Selang beberapa saat, saya terlihat riak air menandakan mangsa sudah hampir ketebing. Dan mangsa pertama kami adalah keli skala 1kg. Kami mula bersemangat kembali. Di penjuru kolam kedengaran ada pemancing sedang bertarung dengan ikan. Bunyi kelili plastik yang nyaring menyebabkan pemancing lain semakin gian. Perlawanan hampir 15minit itu akhirnya dimenangi oleh pemancing. Patin skala 4kg menjadi habuan. Memang geram bila tengok orang lain naikkan ikan besar. Kami semakin bersemangat bila dapat melihat patin sebesar itu. Umpan ditukar lagi... Malam tu ikan kurang galak makan. Memang slow. Satu kolam cuma beberapa ekor sahaja yang berjaya dinaikkan. Mungkin kerana hujan sepanjang hari. Hujan mulai turun pada jam 4pagi. Dan pada masa itulah ikan mula bangkit seleranya. Lebih kurang jam 4.10pagi pemancing sebelah saya mendapat tarikan. Kali ini ikan menarik dengan kuat sekali. Perangainya tak ubah seperti lembu. Tarikan tanpa henti dan beberapa benaman membuatkan kami semakin geram. Selang 20minit patin 6kg berjaya dinaikkan. Patutlah kuat lawannya. Selang beberapa ketika umpan dijamah lagi. Tapi kali ini patin kecil yang menjamah umpan. Tak sampai 1kg pun berat anggaran. Dari pukul 4pagi hingga 6 pagi lebih kurang 10ekor patin berjaya dinaikkan. Ada juga yang berjaya melepaskan diri dengan membelitkan tali pada tunggul kayu. Pada sesi memancing kali ini dapat saya simpulkan Perubahan cuaca memang akan mengubah selera dan perangai ikan. Cuaca sejuk mungkin menyebabkan ikan lebih suka mendiamkan diri di dalam lubuk. Perubahan cuaca mendadak mungkin boleh merubah selera ikan dari mogok lapar ke galak makan atau sebaliknya. Renungkanlah

pertanyaan dan borak borak pancing